Monday, August 14, 2017

Dia..


"Kami diberi hujan kerana kurniaan Allah dan rahmat-Nya ."

Hujan masih belum berhenti. Walau tidak selebat tadi, namun sejuk dan ngilu ditimpa hujan semasa dlm perjalanan tadi masih terasa. Hujan yg membasahi tubuh kami mengimbau seribu satu kenangan dengan 'DIA'. Dia yang telah banyak mencorakkan hidup saya. Lebih dari separuh usia, saya kongsi bersama. Susah senang dan segala- galanya.. !

Subuh tadi, bangun dari tidur saya rasa tangan yang masih ada benang jahitan, semakin surut bengkak nya. Alhamduliĺlah, bolih lah tolong anak bereskan kerja- kerja rumah mana yang mampu dengan kekuatan tangan yang sebelah lagi. Lebih-lebih lagi anak sulung kelihatan tidak berapa sihat. Selepas subuh dia terbaring diruang tamu, "malam tidak dapat tidur"; kata nya. Saya ambil bantal dan cuba baring disebelah, namun mata tidak bolih dipejamkan.

Perlahan-lahan kedapur, cari apa yang ada.
Sementara semua senyap, keluarkan ikan dari peti sejuk. Ingat nak cuba masak hari ini. Cili telah along mesin malam tadi. Bawang pun ada yang dah berkupas. Pagi ini buat sarapan sendiri. Biasanya angah yang beli..

Hari masih pagi sangat lagi. Masih ada masa untuk lap apa yang patut. Sudah lama tidak bersihkan rak untuk simpan keperluan memasak atau rempah ratus. Tiba- tiba degup jantung semakin kencang..
Air mata semakin deras. Mata tertumpu pada botol2 kecil yang sedikit berselerak di tempat nya. Saya ambil, bersihkan satu persatu.. Masih terdengar- dengar suara DIA menyuruh saya membeli rempah-rempah untuk menumis dan sebagainya. Satu persatu DIA sebut. Entah masa bila DIA menaip nama-nama barang untuk ditampal di botol-botol yang comel.
Botol-botol yang saya kumpul dari cenderahati pengantin baru.. Awal tahun semuanya telah siap bertampal. Walau isi botol telah banyak berkurang, namun ingatan dan nama DIA tetap mengekori saya dimana sahaja saya berada didalam rumah ini.. Semua!Semua yang ada didalam rumah ini terukir nama DIA.




"Ibu! Ibu buat apa tu?" Tiba-tiba angah terpacul dari bilik. Lantas saya terus menjawab ; " ibu ingat nak masak tadi, tapi tak jadi pulak. Simpan semula ikan tu ye"
"Tak payah masak, nanti beli je" ; jawab nya. Terus menuang air kedalam cawan..

Setelah makan tengahari dan selesai menunaikan kewajiban, saya ajak angah ambil angin di pantai. "Siap lah.." ; katanya.
"Ibu teringin sangat nak minum air kelapa yang segar ..yang tak ada air batu...ada isi kelapa yang sedap..bolih tak?"
"Nanti bolih cari" jawab nya sambil memakai baju.

Sampai di tepi pantai, kami berhenti digerai yang banyak kelapa muda.. Air liur ditelan bagai terasa enak nya air tersebut. Kali terakhir saya minum air kelapa semasa perjalanan kami dari Kuala Terengganu ke Dungun.. minum bersama DIA dan angah.. masa tersebut hujan sangat lebat. Sambil makan mee goreng, ikan dan udang celup tepung.. Ah! Kenangan itu..

Peniaga -"Minum apa?"
Anak - " Kelapa muda 2 biji, satu letak ais, satu tak nak"
Peniaga- " Ehh... bolih minum air nyor ke? Bisa! Org patah tak bolih minum"
Saya-" Tak bolih ke...".:'(
Peniaga- " Org kata lah.. air nyor bisa.. klu nak juga, saya buat"
Anak -." Ok.. air lain, ibu nak air apa? "
Saya - " Teh tarik..." sambil telan air liur ..

Dalam perjalanan pulang, singgah beli ikan segar di tepi pantai dan sedikit sayur. Langit nampak sedikit gelap, tapi angah singgah dahulu di bengkel kereta untuk pastikan samaada kereta sudah dibaiki atau belum. Saya biarkan dia berborak dengan tuan bengkel sekejap dan teruskan merempit kami..

Belum separuh perjalanan, hujan turun dengan lebatnya. Tiada tempat berhenti yang sesuai.

Anak - " Ibu..ibu basah tak? Ibu.. basah tak? Tutup cermin topi keledar.bu.."
Saya - " Kau basah, ibu pun basah lah angah.. kalau tak basah... ada karomah ibu ni.. tak basah kena hujan.. he3"

Tiba-tiba, air mata semakin deras.. sederas air hujan membasahi tubuh.. kenangan datang lagi.. Teringat DIA yang selalu basah kuyup dalam mencari rezeki demi 'mencukupi' kami..

Kenangan bersama DIA silih berganti . Setiap ruang dalam teratak kami ini ada cerita yang bersangkutan dengan DIA..
Kenangan tersebut sentiasa segar bersama doa- doa kami..  DIA yang telah pergi mendahului kami.. pergi yang tidak mungkin kembali lagi..



.


Wednesday, July 5, 2017

Janji kita






Bila diri mu telah bergelar suami dan saya bergelar isteri...
Semuanya telah menjadi satu.. 
Dari saat saya dipersunting disuatu malam bertarikh 26 Nov 1982.. dari saat itu satu ikatan yang direstui olih orang tua kita dan kita sangat berharap sentiasa dalam lindungan Allah Azawajalla. Kita melangkah, bertatih, berjalan, berlari, rebah dan bangun bersama. Kita menyulam impian dan cita-cita bersama. 
Dan hari itu.. saat yang telah ditetap olih Maha Pencipta.. kau.. wahai suami ku telah diambil semula setelah dipinjam kan kepada kami buat seketika.. 

Ampun kan hamba Ya Rabb seandainya tidak mampu meneruskan segala impian dan janji kami. 

Berikan pertolongan dan sempurnakan cita-cita kami Ya Allah..  

Kerana

Saya tidak kuat !!!

لا حول ولا قوة إلا بالله 

Sunday, June 25, 2017

Tarikh ini dalam kenangan

Idul fitri 1438...
Dah menebar kan sinar nya..

Taqobbalallahu minna wa minkum.

Moga bergembira menemui handai taulan dan saudara mara.

Saya tetap menanti disini
Masih belum bolih berjalan menemui saudara -mara dan handai taulan.
Inshaa Allah , dilain ketika.

Kali ini abang saya datang menemani kami.. Alhamdulillah.
anak perempuan bongsu beraya di Kedah dan kakak  nya beraya bersama mertua di Espek Ulu Keratung. Selamat bergembira dan beraya anak -anak disamping keluarga. Jangan risaukan keadaan kami. Kekanda - kekandamu ada bersama mengurusi ibu. Alhamdulillah.

Sudah lebih 34 kali beraya bersama mu, suami ..
Kau cukupi keperluan dan gembirakan kami.
Walau adakalanya sehinggakan tidak sempat mencukupi keperluan dirimu sendiri...

Lebaran kali ini...
Walau diri mu telah tiada., saya lihat anak-anakmu berusaha sedaya mungkin melayan saya sebaik nya. Namun saya tahu disudut hati , mereka sangat merindui mu.

Sesungguh nya tarih ini...
Setahun yang lalu dan pada tarikh yang sama setiap tahun kau tidak pernah gagal menulis sesuatu buat ku.. di kad mau pun di dada talipun tangan ku..

Hari ini sepanjang malam saya nantikan
Walau saya tahu mana mungkin akan terjadi.. !!!

Tahun ini dan tahun-tahun seterusnya akan tinggal sejarah tarikh ini..


Dalam meniti hari
ternyata yang bertambah
hanya lah kiraan  usia
detik...minit..jam dan hari
silih berganti

*Tidak ada yang lebih aku sesalkan daripada berlalunya satu hari yang mengurangkan usiaku, namun tidak menambah amalanku*

*[ Ibn Mas'ud ra ]*

Wednesday, June 21, 2017

QADARULLAH WA MAA SYA'A FA'AL

   Petang rabu yang sayu. Hujan turun mencurah membasahi tanah yang kering kontang .Walau sesekali hujan turun dalam beberapa minggu ini tetapi tidak lah selebat sekarang. Ingin turun di baranda dan lihat longkang sekeliling rumah kami yang sudah sekian lama tidak disental. Apa kan daya keadaan fizikal saya tidak mengizinkan untuk saya buat semua itu. Dua orang anak lelaki kami pun keadaan mereka tidak berapa sehat untuk mereka buat kerja-kerja tersebut. Mudah-mudahan mereka semakin pulih dan kuat untuk teruskan perjalan ini.Tabah untuk hadapi tantangan kehidupan .

 Lebaran semakin dekat...

   Sudah lebih lima bulan sejak kemalangan saya tidak mampu menguruskan rumah tangga sekehendak hati. Tenaga yg amat terbatas cuma mampu membuat pekerjaan ala kadar sahaja. Namun saya bersyukur Allah masih pinjamkan ingatan dan anggota yang lain yg semakin pulih dari cedera. Allah Azawajalla juga masih meminjamkan usia buat kami yang terlibat dalam kemalangan tersebut walau tunggak keluarga yg sangat kami sayang telah pergi buat selamanya. Pergi... yang tidak akan kembali lagi.. pergi menuju negeri yang kekal .

 Lebaran semakin dekat...

    Kelmarin kami tiga beranak ke pantai untuk berbuka puasa disana. Sementara menunggu waktu berbuka mata tertumpu kearah lautan yang terbentang luas. Kenangan datang lagi.. air mata hampir tumpah!. Sepontan mulut terkeluar perkataan yang selama ini saya simpan dan pendam dalam dada. "Along.. angah.. masa korang kecil-kecil dulu, ibu selalu berdiri di varenda rumah pangsa kita lihat laut bila tahu ayah akan balik . walaupun tidak pasti dari jauh itu kapal ayah.. tapi ibu pasti ayah akan pulang menemui kita. Tetapi..."


 Angah hanya diam memandang saya. Manakala along berkata ; " ibu!! Jangan camtu" Langit agak gelap tika itu. saya perlahan2 turun menyusuri pantai. Tiba2 along datang menghampiri saya... " ibu , nak ujan ni , jangan main-main.. ibu buat apa ni?" Saya lihat wajah nya sedikit cemas . Masa tersebut saya rasa ingin ketawa ! Tidak tahu apa yang sedang along fikirkan tentang saya.. Namun saya buat selamba.. namun dalam hati saya tahu mereka berdua sangat memikirkan saya.






   Anak-anak ku, jangan kuatirkan ibu. Ibu masih waras..


     Saya yakin ini telah ditakdirkan olih Allah dan Allah berbuat apa sahaja yang DIA kehendaki.




    Senja kelmarin kami berbuka dibawah wakaf dengan bertemankan hujan yang betul-betul turun. Kesian angah walau kaki masih sakit, sanggup bawa kami keluar walau sekadar berbuka dengan nasi bungkus.. Alhamdulillah. Lebaran semakin dekat ! Saya tidak tahu apa kemungkinan yang akan berlaku dihari tersebut.. Moga Allah Aza wajalla kuatkan semangat kami. Tiada persiapan yang khusus untuk lebaran kali ini.

 Ya, lebaran semakin menghampiri... Inshaa Allah.

Thursday, May 25, 2017

Pergi tak kembali



Sudah melewati empat purnama. Masih terbayang langkah kaki mu.. terdengar_dengar  patah demi patah suara mu. Setiap sudut dan ruang ini ada diri mu. Walau pasrah, namun mana mungkin mengikis semua ingatan dan semua kenangan bersamu.

     


Allahummaghfirlahu warhamhu wa 'afihi wa'fuanhu..





Monday, November 21, 2016

Meniti waktu

                                                 Assalamualaikum.


Dingin saat ini mencengkam hingga ketulang . Duduk di sudut ruang tamu sambil menyingkap helai demi helai album keluarga dikala buah hati masih kecil. Tersenyum sendiri dan mengimbau kembali kenangan lalu. Ketika umur saya masih muda dan setiap tindakan untuk penjagaan putra puteri kami cuma mengikut gerak hati seorang ibu muda tanpa berpandukan dari bacaan dari media atau petua dari sesiapa. Kami tinggal jauh dari kampung halaman. Perhubungan dengan keluarga sangat terhad. Tiada talipun apalagi hubungan yang canggih seperti sekarang, yang mana semua nya dihujung jari , Alhamdulillah. Bila rindu atau ingin bertanya khabar atau berkirim khabar, dengan keluarga cuma posmen jadi pengantara. Itupun jika rindu semakin sarat dan tidak dapat di bendung .. Aduhai..

 

 Membesarkan anak-anak yang  umur mereka tidak banyak jaraknya antara satu dengan lain, memang mencabar. Lebih lebih lagi bila terpaksa mengurus nya seorang diri. Bila seorang demam, semua nya akan demam. Alhamdulillah, memang Allah Azawajalla tidak akan memberatkan hamba nya melain kan apa yang bolih hamba Nya tanggung. Olih kerana rumah sakit bersebelahan denganh tempat tinggal kami maka kesulitan itu dapat saya tangani walau tanpa suami disisi. Pernah suatu hari anak kami demam panas dan muntah-muntah. Cemas tika itu Allah sahaja yang tahu. (Barangkali jika suami berada di dalam pangkalan mungkin kurang sikit rasa cemas ) Setelah bersiap lebih kurang, saya bawa kesemua anak kerumah sakit. Selesai urusan di rumah sakit tersebut, kami berjalan perlahan kerana keletihan. Tiba-tiba baru perasan bahawa sandal yang ku pakai bukan pasangan yang sama !!! . Aduhai mengapa tiada yang menegur  waktu itu ? Sedih dan malu saat itu tapi menjadi kenangan manis saat ini.



                               (Ketika ini mereka sudah pandai uruskan diri sendiri. )

Bila anak-anak sudah bersekolah, tanggungjawab mula bertambah sedikit demi sedikit. Dari mula buka mata waktu pagi hingga tutup mata kembali.. cerita yang berlainan setiap hari disamping tugasan/tanggungjawab yang sama setiap hari.Saat paling mengembirakan anak-anak ialah apabila menunggu kepulangan ayahanda mereka atau saat saya bacakan surat dari suami apabila beliau berlayar lama. (Dia akan poskan surat/poskad setiap kali kapal berlabuh dipelabuhan).




Kini, semuanya telah dewasa dan telah ada yang berumah tangga. Giliran kami pula merasai erti rindu bila berjauhan dan terpisah dari mereka. Ditambah pula bila teringatkan  cucu. Jika mereka datang menzirahi kami, terkenang kembali saat anak-anak masih kecil. Walau jauh berbeza cara kami mendidik mereka tetapi tujuan nya tetap sama. Ingin mereka membesar dengan beradap, sihat, cerdas dan berjaya didunia dan akhirat. Tanpa petunjuk dari Allah Azawajalla serta doa ,pengorbanan dan kesabaran mana mungkin kita dapat apa yg kita inginkan. Sudah menghampiri 34 tahun melayari bahtera berumahtangga, namun masa seperti cepat berlari. Sesekali rindu saat anak-anak masih kecil setiap kali terpandang cucu-cucu kami. Ah, mana mungkin masa berputar kembali..



Wahai Tuhan Kami ! Berilah rahmat dari-Mu kepada kami dan sempurnakan petunjuk yang lurus dalam urusan kami.

Allahumma Amin.